Friday 29 March 2013

Pengurusan Kesihatan Diri

Aspek Pengurusan Kesihatan Diri:

1. Pengurusan kebersihan tubuh
2. Pengurusan kebersihan pakaian
3. Pengurusan tahap kesihatan
4. Pengurusan pemakanan yang sihat
5. Pengurusan berat badan
6. Pengurusan tekanan (stress)

a)  Pengurusan kebersihan diri – Membersihkan tubuh badan menjadi rutin harian yang perlu dilakukan.

  • Mandi 2 kali sehari. Bersihkan tubuh dengan sabun dan air bersih untuk membuang kotoran & kuman bagi menjauhkan jangkitan penyakit kulit seperti kudis & badan berbau.
  • Bersihkan tangan dengan sabun & air bersih setiap kali selepas ke tandas, sebelum menyediakan makanan dan sebelum makan. Pastikan kuku sentiasa dipotong pendek dan bersih.
  • Rambut dibersihkan dengan syampu yang sesuai dengan jenis kulit kepala samada berminyak / kering. Kutu rambut / masalah kulit kepala antara masalah kesihatan yang biasa berlaku.
  • Penjagaan mulut termasuk gigi penting. Gosok gigi menggunakan berus gigi yang sesuai dan ubat gigi. Pastikan mulut dan gigi dibersihkan setiap kali selepas makan dan sebelum tidur. Gunakan floss untuk membuang sisa makanan pada celah gigi. Dapatkan pemeriksaan 2 kali setahun. Guna alat pelindung gigi jika terlibat dalam aktiviti sukan lasak.
  • Tubuh memerlukan rehat yang cukup untuk memulihkan tenaga dan minda. Dapatkan tidur yang cukup dan berkualiti. Kanak-kanak dan remaja memerlukan masa tidur yang lebih panjang berbanding dengan orang dewasa. Pastikan tubuh dibersihkan sebelum tidur.

b)  Pengurusan kebersihan Pakaian – Negara kita mpunyai kadar kelembapan yang tinggi. Tubuh kita cepat berpeluh. Adalah penting untuk kita menukar pakaian setiap hari. Pastikan pakaian dibersihkan sebelum dipakai semula. Kita perlu membersihkan dan menjemur bantal, selimut, cadar untuk mengelak pembiakan hama.

c)  Pengurusan Tahap Kesihatan – Penyakit kardiovaskular seperti jantung dan strok adalah ’pembunuh senyap’. Penyakit ini dikenal pasti sebagai salah satu daripada 10 penyebab kematian di Malaysia. Kita boleh mengurus tahap kesihatan melalui pemeriksaan kesihatan di klinik atau hospital untuk mengetahui tanda-tanda awal sesuatu penyakit seperti pemeriksaan tahap glukos darah supaya dapat ketahui samada diri berisiko untuk mendapat penyakit diabetis.

Jenis pemeriksaan yg boleh dijalankan ialah:

1. Pemeriksaan tekanan darah
2. Saringan paras glukos darah
3. Saringan paras kolesterol
4. Indeks jisim badan
5. Pemeriksaan kanser serviks dan puyu dara
6. Ujian kadar lemak
7. Saringan minda sihat

d)  Pengurusan Pemakanan yang Sihat – Adalah amat penting untuk memakan makanan yang seimbang bagi mendapat semua jenis zat yang diperlukan. Makanan seimbang terdiri daripada komponen karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan lain-lain. Pengambilan makanan seimbang akan memberi tenaga, membina badan, mencegah penyakit.

  •   Tiga waktu makan utama ialah sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam. Pengambilan sarapan pagi untuk memberi tenaga bagi memulakan kerja.
  •   Makan mengikut keperluan – pengambilan jumlah makanan perlu sesuai dengen jenis pekerjaan atau penggunaan tenaga. Kanak-kanak dan remaja yang sedang membesar dan aktif secara fizikal memerlukan jumlah makanan yang banyak. Begitu juga petani, nelayan, buruh – penggunaan tenaga mereka sangat tinggi.

Antara pengurusan amalan makanan yg tidak sihat:

1. Tidak mengambil makanan waktu makan utama seperti sarapan pagi dan makan tengah hari menyebabkan kita akan berasa terlalu lapar dan makan dengan lebih banyak.

2. Tidak mengambil pelbagai jenis makanan seimbang menyebabkan tubuh tidak dapat pelbagai zat yang diperlukan.

3. Mengambil snek yang tidak sihat seperti ais krim, jeruk dan kek.

4. Mengambil secara berlebihan makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi akan memdedahkan seseorang kepada risiko penyakit diabetis.

5. Mengambil secara berlebihan makanan yang tinggi kadar lemak dan minyak akan mengumpulkan lebihan lemak di dalam tubuh jika tidak digunakan.

6. Mengambil makanan yang tinggi kandungan garam seperti ikan masin dikenal pasti sebagai faktor risiko penyakit tekanan darah tinggi.

e)  Pengurusan Berat Badan – Obesiti salah satu risiko utk mendapat penyakit diabetis, jantung, darah tinggi dan kanser. Risiko lain ialah merokok dan kurang bersenam. Kecergasan fizikal meliputi segala aktiviti yang menggerakkan anggota fizikal seperti menjalankan kerja rumah dan membersihkan kawasan rumah. Aktiviti fizikal memerlukan tenaga yang berupa membakarkan lemak dalam tubuh. Pembakaran lemak secara konsisten akan menyisihkan lebihan lemak yang disimpan di dalam badan untuk mengelak badan daripada berlebihan berat. Aktiviti fizikal akan meningkatkan high density lipoprotein (HDL) atau lemak darah berkepadatan tinggi yang baik untuk melindungi jantung. Ia adalah bahan darah yang dapat memungut kolesterol dan membantu membuangnya dari badan melalui hati. Ia dikenali sebagai kolesterol baik.

f)  Pengurusan Tekanan (stress) – Tindakbalas fizikal, emosi, dan mental terhadap perubahan dan cabaran. Stress boleh dialami di rumah, sekolah dan tempat kerja. Stress yang sedikit boleh menjadi motivasi kepada kita. Stress yang serius mungkin cenderung untuk terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan alkohol. Kita mesti belajar hidup dengan stress kerana ia sebahagian daripada kehidupan. Belajar mengurus stress dapat menjauhkan kerunsingan. Pengurusan masa dan kerja yang bijak dapat membantu mengurangkan stress. Amalkan pemikiran dan komunikasi yang positif. Dapatkan bantuan jika tidak mampu menguruskan tekanan diri.

No comments:

Post a Comment